THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Saturday, May 2, 2009

Model Kajian Tindakan

Model kajian tindakan sebagaimana yang ditunjukkan di bawah adalah langkah pelaksanaan kajian tindakan yang biasa dilakukan. Perkara pertama yang peril dilakukan oleh guru adalah mengenalpasti dan memilih masalah yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran (p&p) seharian. Dalam p&p seharian dalam bilik darjah, pastinya ada sahaja masalah pembelajaran murid yang dihadapi oleh guru. Biasanya saya akan katakan bahawa sekiranya pelajar tidak memahami suatu konsep pembelajaran pada satu-satu masa pastinya ada sahaja yang menghalang pembelajaran tersebut. Begitu juga apabila, sekolah tidak dapat mencapai pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan, sudah tentunya ada masalah pembelajaran yang wujud. Kalaupun sekolah mendapat 100% lulus, masih ada ruang untuk peningkatan. Pada tahap ini, pengiraan sekolah haruslah tertumpu kepada berapa ramai yang mendapat A. Maka peranan guru di sini adalah untuk mengenalpasti dan memilih permasalahan tersebut. Dalam proses pemilihan ini, dapatkan masalah pembelajaran yang paling signifiken dan ketara. Jika tidak ada masalah, tidak perlu buat kajian. Elok kalau buat kerja lain saja, tetapi kalau pencapaian kurang cemerlang pastinya ada masalah pembelajaran. Kenalpastilah masalah tersebut. Antara teknik yang boleh digunakan untuk mengenalpasti masalah pembelajaran adalah dengan membuat temu bual ringkas, soal selidik, ujian dan sebagainya. Pilih satu masalah pada satu-satu masa. Kenalpasti masalah akar umbi. Contohnya, pelajar tidak memperolehi pencapaian yang baik dalam mata pelajaran Matematik sekolah rendah. Setelah dikenalpasti, pelajar lemah dalam kemahiran sifir. Maka pokok utama masalah ialah kemahiran sifir. Oleh itu, selesaikan masalah sifir dahulu.


Model di atas menunjukkan bahawa terdapat empat peringkat dalam pelaksanaan suatu kajian tindakan perancangan, pelaksanaan tindakan, pemerhatian dan refleksi. Peringkat pertama adalah peringkat perancangan. Peringkat perancangan merupakan satu peringkat yang sangat penting kerana pada peringkat inilah permasalahan utama pembelajaran dikenalpasti, Setelah masalah dikenalpasti, barulah program tindakan yang bersesuaian dirancang. Program yang juga merupakan rawatan kepada masalah pembelajaran ini boleh diambil daripada program orang lain atau ciptaan sendiri. Biasanya inovasi p&p akan lahir di sini sekiranya guru mencipta sendiri sesi rawtatan tersebut.


Peringkat kedua ialah pelaksanaan tindakan. Peringkat ini adalah peringkat pelaksanaan program tindakan atau rawatan. Sesi rawatan atau tindakan ini mungkin melibatkan beberapa masa p&p biasa. Dalam waktu pembelajaran atau di luar waktu pembelajaran. Oleh kerana masalah pelajar itu adalah masalah biasa dalam kelas maka sesi tindakan yang diintegrasikan dengan waktu p&p biasa juga baik. Mudah sahaja. Masalah itu akan tetap mengganggu kalau tidak diselesaikan.


Peringkat ketiga adalah pemerhatian. Pada peringkat ini, pemerhatian boleh dilakukan oleh guru sendiri yang juga sebagai penyelidik. Guru juga boleh meminta bantuan daripada guru lain untuk membuat pemerhatian semasa sesi pengajaran guru. Kalau mahu lebih terbuka, guru juga boleh meminta bantuan salah seorang murid untuk dalam kelas berkenaan untuk membuat pemerhatian. Semuanya mesti menggunakan borang senarai semak atau seumpamanya. Saya masih ingat sebuah sekolah di Amerika Syarikat. Dalam lawatan saya ke sekolah berkenaan, saya dapati bahawa panel penilai guru yang mahu memasuki sekolah tersebut bukan sahaja guru-guru tetapi juga melibatkan seorang pelajar. Kepercayaan ini yang perlu dipupuk. Penilaian dalam pelbagai teknik juga boleh dilakukan pada peringkat ini. Penilaian mesti dilakukan untuk menilai keberkesanan program. Gunakan borang walaupun temubual sahaja.


Peringkat keempat adalah refleksi. Pada peringkat ini, guru membuat renungan atau refleksi terhadap kajian yang telah dilakukan. Sama ada berjaya atau tidak. Laporan juga ditulis di peringkat ini. Ini penting untuk dokumentasi. Perihal dokumentasi ini, perlu ditekankan sikit. Sebenarnya ramai guru membuat kajian dalam bilik darjah. Malah hampir setiap hari. Bagaimanapun, yang kurengnya ialah dokumentasi. Jadi ilmu itu tidak disebarkan.


Sekiranya program tindakan tersebut berjaya, maka ia bolehlah disebarkan kepada guru-guru lain. Ini penting agar guru lain yang menghadapi masalah yang sama akan dapat menyelesaikan masalah pembelajaran tersebut dengan menggunakan kaedah yang sama. Jika tidak berjaya, ia perlu dirancang semula. Dalam hal ini, teknik tindakan yang berbeza boleh difikirkan. Penggunaan teknik yang berbeza bagi masalah yang sama ini akan membawa kepada konsep Gegelung Kedua dalam kajian tindakan.

Rekabentuk Kajian Tindakan


Kajian tindakan mempunyai konsep dan teknik pendekatan yang tersendiri. Objektif utama kajian tindakan adalah untuk memperbaiki amalan pengajaran guru dan pada masa yang sama menyelesaikan masalah seharian yang dihadapi oleh guru dalam bilik darjah. Kajian ini akan membolehkan guru membentuk teori-teori peribadi yang praktikal tentang suatu permasalahan pengajaran yang dihadapi.



Bagi format atau reka bentuk kajian tindakan pula tidak ada yang rigid tetapi boleh diubahsuai berdasarkan kepada situasi sebenar dalam persekitaran bilik darjah. Bagaimanapun, empat unsur utama kjaian tindakan mesti ada, iaitu perancangan, pelaksanaan, pemerhatian dan refleksi.


Responden atau subjek kajian tindakan bukan sahaja pelajar tetapi guru yang juga merupakan penyelidik. Melalui cara ini, semua maklumat diperolehi secara langsung daripada responden kajian. Penglibatan penyelidik, iaitu guru, dalam kajian tindakan amat penting kerana melalui cara ini penyelidik dapat mengubah amalan pengajarannya.


Reka bentuk kajian tindakan adalah mudah kerana kebanyakan daripada data yang digunakan adalah bersifat kualitatif. Oleh itu, analisis data yang digunakan lebih kepada teknik deskriptif naratif. Antara teknik analisis data yang digunakan adalah teknik trangulasi. Bagaimanapun dalam beberapa keadaan, data-data berbentuk kuantitatif ada juga digunakan terutama apabila melibatkan markah-markah pelajar. Dalam hal ini, analisis biasa yang akan digunakan adalah dalam bentuk peratus, kekerapan dan nilai mutlak sahaja. Perkara yang perlu dijelaskan di sini bahawa pelaporan hasil suatu kajian tindakan haruslah dilakukan dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami bukan sahaja oleh guru itu sendiri tetapi juga oleh guru-guru yang lain. Laporan yang tidak berbentuk teknikal ini penting untuk memudahkan penyebaran dan perkongsian idea dan maklumat di kalangan warga sekolah.