THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Wednesday, April 22, 2009

KAJIAN TINDAKAN

DEFINISI


Kajian Tindakan adalah kajian berbentuk kualitatif. K-ajian kualitatif menggunakan data dalam bentuk fakta asal seperti dilihat, didengar atau dibaca. Data berbentuk statistik (nombor) juga digunakan tetapi tidak menjadi cacat sesuatu Kajian Tindakan yang tidak menggunakan data berbentuk itu.


Peraturan yang perlu dipatuhi apabila menjalankan Kajian Tindakan ialah keempat-empat langkah asas iaitu merancang, bertindak, memerhati dan mereflek yang dilakukan secara berurutan dalam bentuk gelungan. Berikut dihuraikan dengan lebih terperinci beberapa perkara asas tentang Kajian Tindakan. Masalah yang dialami oleh guru-guru yang menjalankan Kajian Tindakan di sekolah dijadikan asas dalam membuat huraian dan cadangan.



TUJUAN KAJIAN


Pelaksanaan Kajian Tindakan di bilik darjah bertujuan khusus untuk meningkatkan keberkesanan amalan mengajar guru dan meningkatkan pencapaian murid. Secara logik, seorang murid dianggap berjaya menguasai kemahiran-kemahiran pembelajaran yang terdapat dalam sukatan pelajaran apabila berjaya mendapat markah tinggi dalam sebarang penilaian bagi mata pelajaran tersebut. Dalam konteks pencapaian akademik, murid tersebut juga dianggap cemerlang dalam mata pelajaran itu.


Sesuatu Kajian Tindakan yang bertujuan untuk mengatasi pelbagai masalah pembelajaran atau membantu murid menguasai pelbagai kemahiran pembelajaran yang ditetapkan untuk satu-satu mata pelajaran adalah lebih menepati matlamat untuk membantu murid mencapai tahap cemerlang dalam satu-satu mata pelajaran. Perhatikan contoh berikut:


• Membantu murid belajar dengan berkesan melalui pengajaran yang berkesan.


• Membantu murid merancang cara belajar di bilik darjah dengan berkesan melalui bimbingan guru yang berkesan.


Contoh di atas boleh dijadikan tujuan kajian tindakan untuk dilaksanakan oleh seorang guru dalam satu kelas, atau untuk semua guru dalam satu sekolah bagi satu atau semua mata pelajaran atau pelbagai mata pelajaran. Kajian itu boleh dilaksanakan dalam tempoh setahun atau untuk beberapa tahun.


Pelaksanaan Kajian Tindakan untuk satu atau beberapa tahun sesi persekolahan pastilah mengandungi beberapa pusingan atau kitaran mengikut masalah-masalah yang hendak ditangani. Tiap-tiap kitaran kajian mengandungi tujuan khusus berkaitan dengan satu-satu masalah atau kemahiran yang cuba ditangani. Perhatikan contoh-contoh berikut:


• Meningkatkan penguasaan kemahiran mendarab sifir 2 hingga 4.


• Meningkatkan kefahaman murid tentang rumah sa, puluh dan ratus dalam kemahiran asas menambah.


Selain daripada bertujuan untuk menangani masalah pembelajaran khususnya yang berkaitan dengan pencapaian rendah di kalangan murid, Kajian Tindakan juga boleh dijadikan strategi untuk memperbaiki lagi pencapaian murid yang berada pada tahap baik ke tahap cemerlang.



LANGKAH-LANGKAH MELAKUKAN KAJIAN TINDAKAN


Dalam proses pembelajaran di bilik darjah, tiap-tiap kemahiran lazimnya dipelajari satu per satu. Proses yang sama berlaku dalam Kajian Tindakan. Tiap-tiap masalah pembelajaran di tangani satu per satu. Proses pelaksanaan Kajian Tindakan merangkumi empat langkah iaitu merancang, bertindak, memerhati dan mereflek. Langkah-langkah ini dilaksanakan secara berurutan dalam bentuk gelungan. Gelungan seperti ditunjukkan dalam rajah di bawah menggambarkan proses pelaksanaan tanpa penghujung.


Dalam satu gelungan atau kitaran kajian, pengkaji cuba menangani satu masalah tertentu seperti meningkatkan penguasaan sesuatu kemahiranan dalam sesuatu mata pelajaran. Pelbagai aktiviti P&P dicuba untuk menangani masalah itu. Setelah masalah dapat ditangani kitaran kajian seterusnya dimulakan dengan memberi tumpuan kepada masalah lain pula.


Setelah dibuat perancangan rapi untuk mengatasi sesuatu masalah, adalah dijangkakan bahawa sesuatu masalah itu seharusnya dapat diatasi. Mungkin berlaku keadaan di mana penyelidik mendapati tiada perubahan berlaku atau sedikit sahaja kejayaan dicapai setelah kajian dilaksanakan. Sekiranya pengkaji tidak melakukan pemerhatian yang teliti dan tidak membuat catatan semasa kajian berlangsung, sukar baginya untuk mengesan dengan tepat kelemahan aktiviti yang dilaksanakan. Oleh itu amalan mencatat atau merekod segala perkembangan yang berlaku semasa aktiviti dilaksanakan adalah satu peraturan yang perlu dipatuhi dalam Kajian Tindakan.


Seseorang guru yang mengamalkan kajian tindakan sentiasa mencari masalah pembelajaran yang dihadapi oleh muridnya. Setelah masalah dikenalpasti usaha dilakukan untuk menangani masalah itu melalui langkah-langkah merancang, bertindak, memerhati dan mereflek. Proses kajian untuk menangani masalah-masalah pembelajaran yang telah dikenalpasti berlaku berterusan sehingga semua masalah diatasi.



Kesimpulan


Kajian Tindakan adalah satu langkah berterusan oleh guru untuk menilai dan mengesan keberkesanan amalan sendiri. Melalui langkah-langkah mengesan dan menilai itu data dikumpul untuk dijadikan panduan mengubahsuai amalan lalu supaya keberkesanan amalan mengajar seterusnya dapat dipertingkatkan.


Kajian Tindakan menyarankan supaya guru mengubah amalan mengajar. Perubahan amalan yang disarankan bukanlah perubahan secara mendadak, serta drastik atau mengubah amalan kepada sesuatu keadaan yang asing. Perubahan yang disarankan ialah dari segi mengubahsuai amalan secara berperingkat berasaskan data yang telah dikutip.


Guru bukan sahaja memainkan peranan sebagai penyelidik tetapi beliau juga adalah pihak yang dikaji. Sebagai penyelidik guru mengumpul dan menganalisis data, mencadangkan aktiviti P&P serta melaksanakan sendiri aktiviti tersebut.


Di sekolah murid menghadapi pelbagi masalah pembelajaran. Berasaskan pertimbangan itu, Kajian Tindakan yang bertujuan untuk menangani pelbagi masalah P&P lebih menepati matlamat untuk membimbing murid mencapai tahap cemerlang dalam pendidikan. Berasaskan pertimbangan itu juga amalan menyelidik menggunakan pendekatan Kajian Tindakan wajar dilakukan berterusan supaya sebarang masalah pembelajaran yang timbul dapat ditangani serta dikesan seawal mungkin iaitu sebelum ia menjadi terlalu rumit untuk ditangani.


Dalam usaha untuk memahami proses P&P pula, langkah-langkah kajian ditumpukan untuk meningkatkan keberkesanan aktiviti P&P bukan untuk menentukan atau mengenalpasti sama ada sesuatu langkah lebih baik atau berkesan daripada yang lain. Pendekatan atau bahan P&P yang dianggap baik boleh digunakan untuk menangani sebarang masalah pembelajaran yang dikaji.