Model di atas menunjukkan bahawa terdapat empat peringkat dalam pelaksanaan suatu kajian tindakan perancangan, pelaksanaan tindakan, pemerhatian dan refleksi. Peringkat pertama adalah peringkat perancangan. Peringkat perancangan merupakan satu peringkat yang sangat penting kerana pada peringkat inilah permasalahan utama pembelajaran dikenalpasti, Setelah masalah dikenalpasti, barulah program tindakan yang bersesuaian dirancang. Program yang juga merupakan rawatan kepada masalah pembelajaran ini boleh diambil daripada program orang lain atau ciptaan sendiri. Biasanya inovasi p&p akan lahir di sini sekiranya guru mencipta sendiri sesi rawtatan tersebut.
Peringkat kedua ialah pelaksanaan tindakan. Peringkat ini adalah peringkat pelaksanaan program tindakan atau rawatan. Sesi rawatan atau tindakan ini mungkin melibatkan beberapa masa p&p biasa. Dalam waktu pembelajaran atau di luar waktu pembelajaran. Oleh kerana masalah pelajar itu adalah masalah biasa dalam kelas maka sesi tindakan yang diintegrasikan dengan waktu p&p biasa juga baik. Mudah sahaja. Masalah itu akan tetap mengganggu kalau tidak diselesaikan.
Peringkat ketiga adalah pemerhatian. Pada peringkat ini, pemerhatian boleh dilakukan oleh guru sendiri yang juga sebagai penyelidik. Guru juga boleh meminta bantuan daripada guru lain untuk membuat pemerhatian semasa sesi pengajaran guru. Kalau mahu lebih terbuka, guru juga boleh meminta bantuan salah seorang murid untuk dalam kelas berkenaan untuk membuat pemerhatian. Semuanya mesti menggunakan borang senarai semak atau seumpamanya. Saya masih ingat sebuah sekolah di Amerika Syarikat. Dalam lawatan saya ke sekolah berkenaan, saya dapati bahawa panel penilai guru yang mahu memasuki sekolah tersebut bukan sahaja guru-guru tetapi juga melibatkan seorang pelajar. Kepercayaan ini yang perlu dipupuk. Penilaian dalam pelbagai teknik juga boleh dilakukan pada peringkat ini. Penilaian mesti dilakukan untuk menilai keberkesanan program. Gunakan borang walaupun temubual sahaja.
Peringkat keempat adalah refleksi. Pada peringkat ini, guru membuat renungan atau refleksi terhadap kajian yang telah dilakukan. Sama ada berjaya atau tidak. Laporan juga ditulis di peringkat ini. Ini penting untuk dokumentasi. Perihal dokumentasi ini, perlu ditekankan sikit. Sebenarnya ramai guru membuat kajian dalam bilik darjah. Malah hampir setiap hari. Bagaimanapun, yang kurengnya ialah dokumentasi. Jadi ilmu itu tidak disebarkan.
Sekiranya program tindakan tersebut berjaya, maka ia bolehlah disebarkan kepada guru-guru lain. Ini penting agar guru lain yang menghadapi masalah yang sama akan dapat menyelesaikan masalah pembelajaran tersebut dengan menggunakan kaedah yang sama. Jika tidak berjaya, ia perlu dirancang semula. Dalam hal ini, teknik tindakan yang berbeza boleh difikirkan. Penggunaan teknik yang berbeza bagi masalah yang sama ini akan membawa kepada konsep Gegelung Kedua dalam kajian tindakan.

